Gunung Tebu merupakan sebuah gunung yang terdapat di Negeri Terengganu, Malaysia. Gunung Tebu mempunyai ketinggian 1,039 meter dan Gunung Tebu mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas. Dengan berlatarbelakangkan Laut China Selatan, keindahan Pulau Perhentian dapat dilihat dari Puncak Gunung Tebu jika tidak berkabus tebal. Keunikan Gunung Tebu ialah di puncaknya terdapat sebuah kubur dan tempat yang menjadi pilihan pesilat-pesilat untuk bertapa. Lokasi Gunung Tebu terletak di Hutan Lipur Lata Belatan iaitu 24 km dari Pekan Jertih melalui Jalan Raya Kuala Terengganu-Jertih, 118 km dari Kuala Terengganu. Untuk sampai ke hutan lipur ini pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari Bandar Permaisuri atau Pekan Jertih. Dari Pekan Jertih, kita terus menuju ke Kampung Jabi untuk ke Hutan Lipur Belatan. Hutan Lipur Lata Belatan, adalah titik permulaan untuk mendaki Gunung Tebu. Di sini terdapat resort dan pondok Jabatan Hutan. Setiap pendaki perlu mendaftarkan diri di pondok berkenaan sebelum memulakan pendakian. Setiap orang dikenakan bayaran sebanyak RM5 sebagai permit mendaki. Di sini juga para pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti berkhemah dan bersiar-siar. Antara kemudahan lain yang disediakan ialah gerai-gerai, astaka serta dilengkapi dengan kemudahan elektrik.
No comments:
Post a Comment