Monday, August 2, 2010

Lata belatan Besut Terengganu....

Lata Belatan terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Tebu dalam kawasan Pentadbiran Hutan Terengganu Utara.Ianya merangkumi kawasan seluas 20 hektar dan terletak kira-kira 15 kilometer ke selatan bandar Jerteh atau 103 kilometer dari bandar Kuala Terengganu. Bagi tujuan keindahan semulajadi, seluruh kawasan dalam kompatmen 49 dan 50 dengan keluasan lebih kurang 403 hektar yang meliputi kawasan hutan lipur ini telah dikekalkan. Hutan lipur telah dimajukan secara berperingkat-peringkat semenjak tahun 1985. Kawasan Hutan lipur Lata Belatan terdiri dari hutan asli jenis hutan Pamah Diptercorp. Ianya kaya dengan pokok-pokok jenis Diptercarp seperti Meranti dan Keruing yang melebihi 50% daripada komposisi hutan. Jenis-jenis bukan Diptercorp yang terdapat disini ialah Nyatoh, Kelat, Mersawa, Rengas, Kedondong dan lain-lain. Manakala dikawasan berbukit tinggi menghala ke puncak Gunung Tebu, terdiri daripada jenis Meranti, Balau Laut Merah. Dikawasan lereng-lereng bukit yang curam jenis-jenis yang lazim terdapat disini ialah Meranti Seraya, campuran Meranti Keruing dan juga sedikit jenis konifer seperti Podo dan Damar Minyak. Pembangunan Hutan Lipur Lata Belatan adalah berdasarkan pengurusan berkekalan dimana pembangunan yang dilaksanakan adalah berharmoni dengan alam sekitar. Konsep pembangunan yang bersesuaian dengan kawasan ini ialah "Forest Camping Holiday". Bagi mengekalkan keindahan semulajadi dan kejernihan air yang mengalir, 49 dan 50 dengan keluasan 403 hektar telah kekal di bawah pengelasan Hutan Rekreasi. Di antara aktiviti-aktiviti yang dapat dilakukan disini ialah berehat sambil menikmati suasana keindahan alam semulajadi, berkelah secara bersendirian, bersama keluarga atau berkumpulan, berkhemah dan merentas hutan (jungle tracking). Bagi mereka yang ingin cabaran dan merasai suasana pengembaraan hutan yang lebih bermakna, bolehlah mendaki ke puncak Gunung Tebu dengan ketinggian 1,097 meter dari aras laut. Pendakian ini mengambil masa lebih kurang 5 jam untuk sampai kepuncaknya. Keadaan cuaca yang sejuk dengan persekitaran tumbuh-tumbuhan gunung yang berbagai jenis serta pemandangan yang menarik menambahkan lagi keunikan kawasan ini. Kemudahan yang disediakan di sini ialah gerai makan, tandas awam, surau, pondok rehat, jambatan gantung, pondok pengawal dan tapak perkhemahan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...