Ini lah isi ubi gadong
UBI GADONG
Mungkin ramai di antara kita yang tidak pernah mendengar nama ubi gadong. Ubi ‘keramat’ ini juga dikenali dengan berbagai nama lain seperti ubi nasi, tuba ubi, ubi cerok, ubi merah, ubi kendudok dan ubi kipas. Masyarakat Melayu memanggilnya ubi gadong manakala ia digelar kloi di dalam bahasaa Thai dan nami oleh orang Filipina. Nama gadong ini juga dahulu lebih sinonim dengan kehidupan yang miskin dan kesengsaraan. Ia juga telah mencatat seribu sejarah perjuangan penuh patriotik. Hinggakan pada satu masa dahulu sekitar 70-an sekumpulan aktivis pelajar menggunakan nama gadung untuk menggambarkan gerakan membasmi kemiskinan yang diperjuangkan.
Walau apapun nama tempatan yang diberi, namun keluarga spesis ini mempunyai satu nama saintifik, iaitu Dioscorea sp. Di Malaysia, terdapat sebanyak 19 spesis ubi gadong termasuk Dioscorea hispida, Dioscorea piscatorum dan Dioscorea alata. Setiap spesis ini berbeza dari aspek fizikal dan kimia di antara satu dengan lain.
Ubi gadung yang beracun hanyalah satu-satunya tumbuhan liar yang bolej hidup dan bertahan walau dalam apa keadaan cuaca sekalipun. Ubi gadung juga sejenis tumbuhan yang hidup bertahun-tahun lamanya dan amat sukar mati. Ia juga digolongkan di dalam tumbuhan liar yang tumbuh menjalar dan memanjat dan boleh memanjang sehingga 20 meter dengan batangnya berduri.
Isi atau ubi gadung ini membesar di bawah tanah seperti ubi keledek. Terdapat beberapa biji ubi di dalam satu liang dan bentuknya agak bulat serta berkulit keras nipis. Kulit ubi ini bewarna coklat kekuningan dan isinya kuning keputihan dan ubi dapat dibezakan dengan ubi yang lain melalui bentuk daunnya. Ubi beracun ini mempunyai daun segi tiga yang tidak bercantum antara satu sama lain. Bunganya amat jarang ditemui tetapi kalau ada ia akan tumbuh diketiak daun dengan warna kekuningan dan berbau wangi.
Dilihat dari jauh, daun pokok ubi gadung ini kelihatan seperti daun sireh. Pokok ubi ini ialah daripada jenis menjalar dan batangnya pula mempunyai banyak duri sehingga sukar untuk dipegang. Ubinya mempunyai saiz yang berbeza-beza, dan ada yang mencapai berat sehingga lima kilogram. Dioscorea hispida mepunyai ubi yang bewarna kuning, ubi Dioscorea piscatorum barwarna kemerahan dan ubi Dioscorea alata pula bewarna kuning kemerahan.
Ubi gadung sering dijual di kampung terutama pada musim tengkujuh. Di Pantai Timur, ubi ini direbus dan dimakan bersama kelapa. Apa yang aneh mengenai ubi ini ialah ubi ini beracun. Ubi ini dijadikan sebagai racun ikan, atau tuba ikan. Kajian saintifik menunjukkan bahawa ubi ini mengandungi sejenis sebatian yang beracun, dioscorine iaitu sejenis alkaloid yang larut di dalam air.
SUMBANGAN UBI GADONG
Walaupun beracun, tetapi masyarakat Melayu dan orang asli telah menjumpai cara untuk menghilangkan racunnya. Sejak zaman dahulu, mereka telah menggunakan ubi ini sebagai makanan dengan cara merendamkan ubi tersebut di dalam air yang mengalir (seperti sungai) selama beberapa hari. Apabila direndam, kandungan dioscorine di dalamnya akan dilarutkan oleh air dan lama kelamaan, ubi ini akan bebas daripada dioscorine .
Kajian saintifik juga menunjukkan bahawa ubi ini kaya dengan bahan yang disebut sebagai steroid. Steroid di dalam ubi ini terdapat dalam bentuk yang bergabung dengan gula, iaitu saponin. Steroid ialah sumber asli yang penting dalam pengahsilan ubatan dan hormon. Saponin ini juga bersifat anti agresif platlet iaitu saponin boleh menghalang pengetulan (agresif) paltlet di dalam darah. Secara tidak langsung saponin dapat menghalang penyakit darah membeku dalam saluran trombosis.
Di Maxico, ubi ini ditanam secara komersial untuk tujuan penghasilan ssteroid. Steroid ini boleh diproses untuk dijadikan hormon seks, pil pencegah hamil dan bahan kortison.
PROSES UNTUK HASILKAN UBATAN
Dalam proses menghasilkan bahan-bahan ubatan, ubi yang matang dipungut dan diekstrak dengan menggunakan bahan petroleum. Pengekstrakan ini akan menyisihkan bahan steroid daripada bahan-bahan lain yang terkandung dalam ubi ini. Selepas diekstrak, sebatian- sebatian steroid yang diperolehi diproses untuk mengubah stuktur kimianya bagi membentuk bahan tertentu yang diperlukan. Kemudian steroid ini akan disteril dan dibotolkan sebagai ubat.
KEGUNAAN-KEGUNAAN LAIN
Selain daripada kegunaannya sebagai sumber steroid dan ubatan, ubi gadong juga mempunyai banyak kegunaan lain. Di Kashmir, ubi gadong ini digunakan untuk membasuh bulu biri-biri sebelum dijadikan pakaian atau barang perhiasan. Pembasuhan dengan perahan ini dikatakan boleh membunuh kutu dan serangga yang terdapat di bulu biri-biri itu. Ekstrak ubi ini juga dikatakan boleh membunuh siput dan kesan ini disebabkan oleh saponin.
Walaupun ubi gadong ini telah lama digunakan sebagai sebahagian daripada makanan masyarakat Melayu namun tanpa kajian dan penyelidikan di kalangan para penyelidik, khasiat ubi ini mungkin tidak diketahui.