Pages

Tuesday, June 22, 2010

 PULUT DURIAN..........



 BAHAN-BAHAN:

1) Beras pulut - bersih dan rendam 2jam (2 cawan)
2) Isi durian (200g)
3) Santan (1 cawan)
4) Garam (sedikit)
5) Daun pandan - tutup lubang pengukus 


CARA MEMBUATNYA:

Mula-mula masukkan beras pulut ke dalam pengukus. Selain bertujuan menutup lubang, daun pandan juga digunakan untuk mengharumkan aroma pulut tersebut. Apabila air untuk mengukus telah panas letakkan pulut dan tutup periuk. Sambil itu campurkan santan bersama sedikit garam. Kacau rata. Ketepikan dan tunggu sehingga pulut empuk. Apabila pulut telah empuk, angkat dan masukkan pulut ke dalam mangkuk. Keluarkan daun pandan dan segera curahkan santan tadi. Gaul rata. Setelah itu, masukkan semula ke dalam acuan pengukus. Kukus lagi pulut tersebut sehingga wapnya naik dan santan tadi benar-benar sebati dan masak bersama pulut. Apabila masak, hidangkan pulut kukus ini bersama durian. Durian pulut kukus sedia untuk dinikmati.
Masjid Tengku Tengah Zaharah


Dikenali sebagai 'Masjid Terapung', senibinanya gabungan pengaruh moden dan 'Moor'. Ia kelihatan unik dan cantik pada malam hari. Masjid Tengku Tengah Zaharah dibina di atas pelantar terapung, memberikan ia sudut unik. Ia terletak di sungai Terengganu dan salah satu senibina moden hasil salah seorang putera DiRaja Terengganu. Masjid putih berkilauan turut menjadi ikon baru dalam senibina Islam di negara ini. Malah, pembinaan masjid ini turut memuatkan ciri setempat dengan penggunaan batu marmar, seramik dan bomanit.
Pembinaan masjid ini sebenarnya adalah inspirasi Almarhum Sultan Terengganu, Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Masjid ini dinamakan sempena ibunya, Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja. Kedamaian masjid ini turut terserlah dengan keindahan Laut China Selatan, menjadikan ia suatu destinasi pelancongan yang menarik di Terengganu. 
Masjid ini terletak di Kuala Ibai, hanya 4 km dari pusat bandar Kuala Terengganu dan berdekatan dengan kawasan pantai Terengganu. 

Monday, June 14, 2010

Keindahan Pulau Redang terengganu.....

Pulau Redang yang terletak 45km dari pinggir pantai Kuala Terengganu merupakan pulau terbesar dari gugusan sembilan buah pulau yang terlindung di Laut China Selatan. Pulau ini menawarkan air laut yang jernih dan beraneka tapak selaman skuba bagi penggemar aktiviti menyelam. Perairan yang terlindung di sekitar Taman Laut Pulau Redang ini kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut yang cantik dan menarik. Di waktu tengahari, apabila matahari bersinar terang menebusi air laut, kelihatan jelas terumbu karang yang beraneka jenis, anemone, dan ikan-ikan yang berwarna-warni. Perairan di sekitar Pulau Redang juga mengandungi dua bangkai kapal karam : Kapal H.M.S. Prince of Wales dan H.M.S. Repulse yang karam di sini sewaktu Perang Dunia Kedua yang membolehkan tentera Jepun menakluki Malaya. Pulau yang indah ini amat sesuai untuk aktiviti snokel, berenang, menyelam skuba, merentas hutan, menaiki bot dan menaiki kanu. Oleh kerana Pulau Redang telah diwartakan sebagai Taman Laut, aktiviti memancing tidak dibenarkan dalam kawasan lingkungan sejauh 3.2km dari pulau. Pelawat juga dilarang mengumpul batu karang atau sebarang hidupan laut yang lain. Berjaya Resort di sini menawarkan kemudahan padang golf dengan persekitaran yang mempesona.
Pulau Redang adalah lebih besar dan mempunyai lebih banyak aktiviti berbanding dengan kedua-dua Pulau Perhentian yang berdekatan.Mulakan penerokaan pulau-pulau di sini dengan menaiki bot di salah satu jeti di Kuala Terengganu dan Merang. Perjalanan bot ke Pulau Redang memakan masa selama satu jam dari Kuala Terengganu dan 50 minit dari Merang.Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu di talian : +609-622 1433 / 1893


Tuesday, June 1, 2010

 ISTANA MAZIAH KUALA TERENGGANU.......




Istana Maziah adalah lambang kemegahan institusi kesultanan Terengganu. Istana ini terletak berhampiran dengan Bukit Puteri, kira-kira 220 meter dengan gigi air sungai Kuala Terengganu. Di istana inilah upacara rasmi negeri diadakan seperti istiadat pertabalan dan kemahkotaan Sultan Terengganu, berkhatan, bertindik, perkahwinan dan sambutan tetamu utama negeri.

Setakat ini terdapat percanggahan mengenai tarikh pembinaan Istana Maziah. Mengikut catatan Engku Pengiran Anum, batu asas pembinaan istana ini dimulakan pada hari Jumaat, pukul 10:00 pagi, 31 Mei 1895 ( 7 Zulhijjah 1312 ) di masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III ( 1881-1918 ). Manakala catatan Dato’ Seri Amar Diraja Haji Ngah Muhammad bin Yusof pula, istana ini dibina pada tahun 1897.
Istana Maziah dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang telah hangus terbakar. Istana Hijau dibina pada masa pemerintahan Sultan Omar ( Baginda Omar ) pada 10 Mac 1870 ( 7 Zulhijjah 1286 ). Tokoh yang diberi tanggungjawab sebagai pengurus pembinaan dan jurutera Istana Maziah ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil.

Dia adalah saudara ipar kepada Sultan Zainal Abidin III. Selain daripada itu terdapat beberapa tokoh lagi yang turut sama menyumbang dalam pembinaan istana ini. Mereka yang bertanggungjawab menyiapkan pelan dan binaan istana serta menghias bahagian dalaman istana ialah Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah bin Zin Al-Idrus, Encik Muhammad bin Abdul Rahim ( lebih dikenali dengan nama Encik Mat ) dan juga Dato’ Mata-Mata. Di samping itu tugas mendapatkan kayu, kebanyakannya dari Dungun diuruskan oleh Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik. Manakala pengurusan batu bata dan kapur pula diserahkan kepada Tengku Besar Paduka Indera. Bahan yang digunakan dalam pembinaan istana ini terdiri daripada campuran kapur, tanah liat, pasir garam, putih telur dan manisan.

Kira-kira 20 orang tukang Melayu dan Cina terlibat dalam pembinaan Istana Maziah. Masalah kewangan pada masa itu telah menyebabkan pembinaan istana ini tertangguh. Walaupun begitu, istana ini telah siap dan upacara " naik istana " diadakan pada 7 Ogos 1903 ( 14 Jamadil Awal 1312 ). Tidak berapa lama selepas Istana Maziah siap, Tengku Embong Musa, Ketua Jabatan Kerja Raya menambah lantai di bahagian anjung istana tersebut.
Pada ketika itu di bawah anjung Istana boleh dilalui kereta. Ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ( 1920 – 1942 ), layang-layang anak tangga dipinda. Seterusnya pindaan dilakukan lagi di masa pemerintahan Sultan Ismail Nasiruddin Shah ( 1945 – 1979 ). Bilik di tingkat bawah terletak Singgahsana di sebelah matahari naik telah dibuang pintunya supaya ia bertambah luas. Dengan itu, Singgahsana dipindahkan ke tingkat atas. Pada tahun 1954, dibina pula layang-layang tangga hadapan di sebelah matahari jatuh.
Selain itu, bilik di tingkat atas sebelah matahari naik telah dirobohkan untuk ditempatkan Singgahsana. Pada tahun 1972, sebuah bangunan tambahan dibina di bahagian rusuk sebelah barat. Seterusnya Singgahsana pula ditempatkan di tingkat atas bangunan baru Istana Maziah ini.Pada tahun 1998, satu tambahan baru telah dibina di bahagian hadapan istana ini.

Ubi Gadong


 Ini lah isi ubi gadong


UBI GADONG

Mungkin ramai di antara kita yang tidak pernah mendengar nama ubi gadong. Ubi ‘keramat’ ini juga dikenali dengan berbagai nama lain seperti ubi nasi, tuba ubi, ubi cerok, ubi merah, ubi kendudok dan ubi kipas. Masyarakat Melayu memanggilnya ubi gadong manakala ia digelar kloi di dalam bahasaa Thai dan nami oleh orang Filipina. Nama gadong ini juga dahulu lebih sinonim dengan kehidupan yang miskin dan kesengsaraan. Ia juga telah mencatat seribu sejarah perjuangan penuh patriotik. Hinggakan pada satu masa dahulu sekitar 70-an sekumpulan aktivis pelajar menggunakan nama gadung untuk menggambarkan gerakan membasmi kemiskinan yang diperjuangkan.
Walau apapun nama tempatan yang diberi, namun keluarga spesis ini mempunyai satu nama saintifik, iaitu Dioscorea sp. Di Malaysia, terdapat sebanyak 19 spesis ubi gadong termasuk Dioscorea hispida, Dioscorea piscatorum dan Dioscorea alata. Setiap spesis ini berbeza dari aspek fizikal dan kimia di antara satu dengan lain.
Ubi gadung yang beracun hanyalah satu-satunya tumbuhan liar yang bolej hidup dan bertahan walau dalam apa keadaan cuaca sekalipun. Ubi gadung juga sejenis tumbuhan yang hidup bertahun-tahun lamanya dan amat sukar mati. Ia juga digolongkan di dalam tumbuhan liar yang tumbuh menjalar dan memanjat dan boleh memanjang sehingga 20 meter dengan batangnya berduri.
Isi atau ubi gadung ini membesar di bawah tanah seperti ubi keledek. Terdapat beberapa biji ubi di dalam satu liang dan bentuknya agak bulat serta berkulit keras nipis. Kulit ubi ini bewarna coklat kekuningan dan isinya kuning keputihan dan ubi dapat dibezakan dengan ubi yang lain melalui bentuk daunnya. Ubi beracun ini mempunyai daun segi tiga yang tidak bercantum antara satu sama lain. Bunganya amat jarang ditemui tetapi kalau ada ia akan tumbuh diketiak daun dengan warna kekuningan dan berbau wangi.
Dilihat dari jauh, daun pokok ubi gadung ini kelihatan seperti daun sireh. Pokok ubi ini ialah daripada jenis menjalar dan batangnya pula mempunyai banyak duri sehingga sukar untuk dipegang. Ubinya mempunyai saiz yang berbeza-beza, dan ada yang mencapai berat sehingga lima kilogram. Dioscorea hispida mepunyai ubi yang bewarna kuning, ubi Dioscorea piscatorum barwarna kemerahan dan ubi Dioscorea alata pula bewarna kuning kemerahan.
Ubi gadung sering dijual di kampung terutama pada musim tengkujuh. Di Pantai Timur, ubi ini direbus dan dimakan bersama kelapa. Apa yang aneh mengenai ubi ini ialah ubi ini beracun. Ubi ini dijadikan sebagai racun ikan, atau tuba ikan. Kajian saintifik menunjukkan bahawa ubi ini mengandungi sejenis sebatian yang beracun, dioscorine iaitu sejenis alkaloid yang larut di dalam air.


SUMBANGAN UBI GADONG

Walaupun beracun, tetapi masyarakat Melayu dan orang asli telah menjumpai cara untuk menghilangkan racunnya. Sejak zaman dahulu, mereka telah menggunakan ubi ini sebagai makanan dengan cara merendamkan ubi tersebut di dalam air yang mengalir (seperti sungai) selama beberapa hari. Apabila direndam, kandungan dioscorine di dalamnya akan dilarutkan oleh air dan lama kelamaan, ubi ini akan bebas daripada dioscorine .
Kajian saintifik juga menunjukkan bahawa ubi ini kaya dengan bahan yang disebut sebagai steroid. Steroid di dalam ubi ini terdapat dalam bentuk yang bergabung dengan gula, iaitu saponin. Steroid ialah sumber asli yang penting dalam pengahsilan ubatan dan hormon. Saponin ini juga bersifat anti agresif platlet iaitu saponin boleh menghalang pengetulan (agresif) paltlet di dalam darah. Secara tidak langsung saponin dapat menghalang penyakit darah membeku dalam saluran trombosis.
Di Maxico, ubi ini ditanam secara komersial untuk tujuan penghasilan ssteroid. Steroid ini boleh diproses untuk dijadikan hormon seks, pil pencegah hamil dan bahan kortison.


PROSES UNTUK HASILKAN UBATAN

Dalam proses menghasilkan bahan-bahan ubatan, ubi yang matang dipungut dan diekstrak dengan menggunakan bahan petroleum. Pengekstrakan ini akan menyisihkan bahan steroid daripada bahan-bahan lain yang terkandung dalam ubi ini. Selepas diekstrak, sebatian- sebatian steroid yang diperolehi diproses untuk mengubah stuktur kimianya bagi membentuk bahan tertentu yang diperlukan. Kemudian steroid ini akan disteril dan dibotolkan sebagai ubat.


KEGUNAAN-KEGUNAAN LAIN

Selain daripada kegunaannya sebagai sumber steroid dan ubatan, ubi gadong juga mempunyai banyak kegunaan lain. Di Kashmir, ubi gadong ini digunakan untuk membasuh bulu biri-biri sebelum dijadikan pakaian atau barang perhiasan. Pembasuhan dengan perahan ini dikatakan boleh membunuh kutu dan serangga yang terdapat di bulu biri-biri itu. Ekstrak ubi ini juga dikatakan boleh membunuh siput dan kesan ini disebabkan oleh saponin.
Walaupun ubi gadong ini telah lama digunakan sebagai sebahagian daripada makanan masyarakat Melayu namun tanpa kajian dan penyelidikan di kalangan para penyelidik, khasiat ubi ini mungkin tidak diketahui.