Friday, May 14, 2010

Rahsia resort tersorok.......

RINDU rasanya kerana sudah lama tidak balik kampung. Justeru, peluang menikmati kicauan burung, air terjun, udara segar dan persekitaran yang tenang di Merang Suria Resort di Kampung Rhu Tapai, Setiu, Terengganu mengubat kedukaan.
Resort yang diuruskan Suria Resorts Management Sdn Bhd adalah milik 100 peratus Bumiputera. Syarikat itu turut memiliki resort di Johor Bahru, Cherating dan London. Sekalipun lokasinya agak tersorok, itulah keistimewaan kawasan ini yang jarang diperoleh di tempat lain. Jika bangun awal pagi, cuaca sejuk menyegarkan badan dengan kabus seperti awan tebal meliputi kawasan dikelilingi hutan hijau itu. Hiruplah udara sepuas hati sambil menikmati dendangan unggas dan kicauan burung. Pengarah Eksekutif Suria Resorts Management Sdn Bhd, Nor Dalina Khalil, berkata kawasan berkenaan anugerah Ilahi kepada manusia terutama mereka yang cintakan alam semula jadi, keindahan, suasana sunyi dan mendamaikan. Beliau berkata, sejak dibuka pada 2005, pihaknya menerima banyak tempahan termasuk pelancong dari Singapura yang gemar suasana alam semula jadi.
“Ada juga yang menginap di resort ini sebelum ke Redang untuk menikmati panorama laut dan pasir pantai,” katanya. Sempena cuti sekolah, pihaknya mengadakan promosi istimewa penginapan tiga hari dua malam berharga dari RM230 hingga RM350. Anda boleh menikmati promosi stimbot pada hari minggu berharga RM25 (minimum dua orang) dan potongan 50 peratus untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.

Di resort itu, anda boleh melakukan aktiviti meneroka hutan, ‘flying fox’, berkayak dan berakit di Mengabang yang menyediakan kawasan lagun air masin dan payau. “Selain kolam mandi dan pantai, kami menyediakan pakej lawatan ke Redang, Pulau Perhentian dan Bidong untuk aktiviti snorkling, menyelam dan memancing. “Jika berminat menunggang kuda, kami boleh menyediakan kemudahan itu dengan harga istimewa,” katanya. Pihaknya turut menyediakan pakej lawatan ke Tasik Kenyir selain mengunjungi Gua Bewah, air terjun Lasir dan Taman Herba. Jika mempunyai masa lapang, pengunjung boleh menjelajah perkampungan berhampiran untuk mencuba hidangan istimewa penduduk tempatan, antaranya ikan dan sotong celup tepung. Cuba sekali, anda pasti teringin datang lagi. Selepas penat meninjau di kawasan perkampungan, singgah sebentar di gerai menjual keropok lekor di Mengabang. Hidangan keropok lekor dengan cendol cukup menyelerakan. Ada juga gerai menjual keropok lekor, keropok kering dan makanan laut di sepanjang jalan di antara Merang dan Mengabang. Jika mahu maklumat lanjut hubungi Suria Resorts Management Sdn Bhd di talian 03-78064752, faksmili 03- 78064753, e-mel: sales@suriaresorts.com atau laman web: www.suriaresorts. com.

Info Bagaimana ke sini: Dari bandar Kuala Terengganu, ikut Jalan Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Anda terus menghala ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Kemudian, ambil jalan Batu Rakit dan anda akan dapat melihat papan tanda Merang. Kawasan ini berhampiran Terengganu International Endurance Park (TIEP). Jarak dari bandar Kuala Terengganu ke Merang ialah 47 kilometer.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...