Monday, May 17, 2010

Ri-Yaz Heritage/Marina Resort & Spa.....tempat yg menarik juga utk tido di ganu...


NAMA resort ini tidak perlu diperkenalkan lagi di kawasan Pantai Timur. Ia mempunyai keunikan tersendiri. Ri-Yaz Heritage Resort & Spa adalah lokasi pilihan pertama yang perlu dilawati sekiranya ingin menghabiskan cuti di Kuala Terengganu, Terengganu. Kemudahan dan perkhidmatan yang diberikan juga setaraf dengan resort yang ada di ibu kota. Tidak perlu pening kepala kerana semuanya berada di bawah satu bumbung.
Ri-Yaz Heritage Resort & Spa adalah simbol negeri Penyu Bertelur setelah kejayaannya menjadi tuan rumah bagi kejohanan kapal layar Piala Monsun yang berakhir awal bulan lalu. Kecekapan pihak pengurusan resort milik kerajaan negeri Terengganu itu terus menjadi buah mulut selepas pengunjung menyatakan rasa puas hati menginap di situ. Sekali gus, kejayaan peribadi buat 120 kakitangan resort itu yang bekerjasama dalam melicinkan operasi semasa pertandingan itu berlangsung.
Marina adalah lokasi paling ‘hangat’ sepanjang kejohanan itu apabila merupakan lokasi utama bagi semua aktiviti. Ia adalah salah satu tempat yang disediakan untuk kapten atau pelayar meletakkan bot mereka. Kemudahan elektrik dan air juga disediakan bagi pemilik-pemilik kapal di situ.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Marina adalah satu-satunya ruangan yang mempunyai kemudahan paling lengkap di Pantai Timur. Di situ juga semua aktiviti sukan, jamuan rakyat, aktiviti sampingan dan konsert mini diadakan. Juga ditempatkan bilik media, bilik persidangan dan kemudahan asas yang lain buat semua pengunjung.
Pengurus Besar Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Abdul Shaheed Yusoff berkata, pihaknya sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan dan kemudahan yang ada bagi memenuhi keperluan kejohanan terbesar dunia itu. Layanan baik tetap diberikan tanpa mengira sama ada pengunjung itu terdiri daripada penduduk tempatan atau orang asing.
‘‘Resort ini bukan untuk golongan elit sahaja. Ia terbuka kepada semua orang. Tiada diskriminasi untuk semua dan ia bersifat adil. Mungkin dahulu, resort ini dikenali sebagai Kelab Teluk Warisan. Sudah pasti hanya terbuka kepada ahli kelab saja. Tetapi kini dibuka kepada semua,” katanya.
Malah, pihaknya juga mengadakan pelbagai promosi termasuk RM188++ untuk penginapan satu malam di bilik deluxe termasuk minuman selamat datang dan sarapan pagi yang berakhir hujung bulan ini. Selain itu, resort tersebut juga menawarkan promosi bulanan, tahunan dan kebajikan yang berbeza buat setiap pengunjung.
Ri-Yaz Heritage Resort & Spa berkonsepkan ala chalet yang mempunyai 97 bilik yang dibezakan mengikut standard masing-masing. Sebanyak 52 bilik untuk calet deluxe, deluxe executive (26), calet royal (13) dan masing-masing empat dan dua bagi suite excecutive serta suite cemara.
Setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan Internet dan panggilan antarabangsa terus dail untuk pelancong luar negara. Begitu juga dengan kelengkapan bar mini, tempat membancuh kopi, jubah mandi, selipar, pengering rambut, seterika dan lain-lain.
Bagi memuaskan tetamu, semua bilik dilengkapkan dengan plasma TV, radio hi-fi, pemain cakera video digital (DVD), pangkalan USB selain teater rumah di semua calet royal dan calet deluxe. Selain itu, terdapat juga kemudahan dapur dan meja makan untuk 12 orang disediakan untuk penginap suite royal dan suite cemara.
Riyaz Heritage Resort & Spa mempunyai dua restoran yang yang menyediakan pelbagai pilihan menu. Restoran Verandah yang diubah suai mengikut cita rasa orang Asia beroperasi pukul 6.30 pagi hingga 12.00 tengah malam. Antara pilihan menu yang disediakan adalah makanan tradisional tempatan, Barat, sizzling dan pencuci mulut yang pelbagai.
Sementara di Bytes Café yang bertemakan kopitiam pula beroperasi pukul 11.00 pagi hingga 11.00 malam. Ia menyediakan pilihan menu seperti snek, pisang goreng, keropok lekor, mee kari, ais krim dan pelbagai lagi makanan menarik yang boleh didapati di situ.
‘‘Resort ini sentiasa mengadakan promosi hi-tea pada setiap hari Jumaat dan mendapat sambutan yang menggalakkan setiap minggu. Kita juga sentiasa mengadakan kelainan contohnya di Restoran Verandah. Kita menempatkan sebuah kumpulan akustik yang menghiburkan pada setiap malam untuk pengunjung menikmati makan malam di sini.
‘‘Selain itu, kita mengadakan bufet Ramadan dengan menyediakan pelbagai menu berlainan dan menyelerakan oleh barisan chef terkemuka termasuk Chef Akmal,” katanya.
Riyaz Heritage Resort & Spa juga menyediakan perkhidmatan buat pengunjung yang suka memanjakan diri iaitu Sembunyi Spa. Ia menyediakan rawatan jamu seperti urut badan, rawatan badan dan muka. Tempat itu turut dilengkapi dengan bilik mandi berasingan untuk lelaki dan wanita, jakuzi panas serta kolam renang khas.
Peminat aktiviti riadah pula, jangan lepaskan peluang untuk berbasikal di sekitar Pulau Duyong, menyusuri sungai Terengganu dengan Gondolla River Cruise, bermain bola tampar, sepak takraw, berenang dan memancing.
Bagi pengunjung yang meminati sukan air, resort ini juga menyediakan perkhidmatan bagi aktiviti sukan air seperti kayak, kapal layar, sampan dan pelbagai jenis sukan air.
Selain itu, Riyaz Heritage Resort & Spa menyediakan perkhidmatan tambahan seperti perkhidmatan teksi dan limousin 24 jam, cuci pakaian, menjaga bayi atau kanak kanak, pertukaran wang asing, perkhidmatan doktor bertauliah (atas permintaan), tempahan tiket kapal terbang dan hotel, bot layar, aktiviti rekreasi kumpulan dan aktiviti berkelah di Pulau Kapas.
Untuk keterangan lanjut boleh hubungi 09-6277888, layari laman web www.ri-yazheritage.com atau kunjungi resort berkenaan bagi merasai pengalaman sendiri di Pulau Duyong, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia.

1 comment:

  1. salam. this place is really awesome. tempat lepak saya every weekend ;) hehe.. http://www.evilolyta.com/tag/ri-yaz/ ;)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...